MSPO 2.0 fokus aspek sosial, alam sekitar dan hak komuniti
2025-12-08 HaiPress

FOTO RTM
KUALA LUMPUR,8 Disember - Kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus komited meningkatkan kadar pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di seluruh negara termasuk Sarawak,bagi memastikan hasil sawit negara kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi,Datuk Chan Foong Hin berkata,berkata usaha itu merangkumi program libat urus,latihan,dan bimbingan teknikal berterusan kepada pihak berkepentingan seperti kilang,syarikat perladangan dan pekebun kecil.
"Sokongan dan insentif kepada Pekebun Kecil Persendirian (PKP) bagi menampung kos pensijilan seperti bayaran audit,dokumentasi dan lain-lain keperluan,sebagai usaha pematuhan berterusan PKP kepada piawaian MSPO 2.0 yang lebih komprehensif",ujarnya.
Di samping itu,bantuan penyediaan pemetaan turut diberikan selaras dengan keperluan European Union Deforestation-free Regulation (EUDR),selain kerjasama bersama Kerajaan Negeri bagi memudah cara isu pematuhan dan tanah.
Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata,MSPO 2.0 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 turut menekankan aspek sosial dan hak komuniti,termasuk isu pencerobohan dan aduan pelanggaran hak tanah.
Katanya,pengusaha diwajibkan menunjukkan status dan bukti hak milik tanah yang sah,termasuk tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diiktiraf undang-undang negeri.
“Dalam hal ini,pihak MSPO telah menerbitkan dokumen Specific Guidance Document on MS2530:2022 Compliance of New Oil Palm Planting for Sarawak NCR Land yang dibangunkan melalui konsultasi bersama wakil Kerajaan Negeri,pemegang taruh komuniti dan pemain industri sawit di Sarawak.
"Dokumen ini memberikan panduan yang jelas kepada pemilik tanah NCR mengenai proses dokumentasi,pengesahan komuniti dan langkah-langkah pematuhan bagi mendapatkan pensijilan MSPO",katanya ketika menjawab soalan Senator Tuan Abun Sui Anyit dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Selain itu,pengusaha perlu mendapatkan persetujuan dan libat urus komuniti tempatan,termasuk Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian High Conservation Value (HCV).
Proses pengauditan dijalankan oleh badan pensijilan berakreditasi untuk menyiasat sebarang aduan berkaitan pencerobohan,pelanggaran hak atau isu NCR. Sekiranya terdapat ketidakpatuhan,sijil MSPO boleh digantung atau dibatalkan sehingga isu diselesaikan.
Mekanisme aduan dan penyelesaian pertikaian turut disediakan melalui sistem e-MSPO,terbuka kepada semua pihak berkepentingan.
