'Air naik sampai dahi,' penduduk Tumpat kongsi detik cemas banjir

2024-11-29 HaiPress

Zakaria Awang,Muhamad Alwi Deris dan Siti Maheran Ahmad ditemui RTM di PPS SK Kelaboran hari ini

TUMPAT,29 November- "Air naik terlalu cepat kali ini. Pakcik terpaksa berpindah dengan bantuan bot laju kerana paras air sudah mencecah dahi," kata Zakaria Awang,penduduk Tumpat yang berdepan situasi mencemaskan apabila banjir melanda Kelantan.

Zakaria merupakan antara lebih 11,000 penduduk daripada 3,000 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir buruk di daerah itu.Tumpat kini menjadi daerah kedua paling teruk terjejas di Kelantan.

Angka itu direkodkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 3.00 petang tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaboran yang dibuka semalam kini menempatkan 471 individu daripada 121 keluarga selepas kawasan sekitar ditenggelami air.

Keadaan bertambah buruk apabila banyak laluan utama di Tumpat terputus hubungan menyebabkan penduduk di beberapa kawasan terkepung dan memerlukan bantuan bot untuk berpindah.

Penduduk menyifatkan banjir kali ini jauh lebih serius berbanding bah kuning pada 2014.

Penghulu Mukim Kelaboran,Muhamad Alwi Deris berkata usaha memindahkan penduduk dilakukan dengan segera bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

"Kami gunakan pelbagai kaedah,termasuk bot. Namun,keadaan air yang naik begitu cepat memaksa kami mengarahkan penduduk yang mampu berpindah sendiri untuk berbuat demikian segera," jelasnya.

Siti Maheran Ahmad,seorang lagi penduduk yang terjejas meluahkan kebimbangannya apabila banjir kali ini naik lebih tinggi daripada biasa.

"Setiap tahun memang banjir,tetapi tidak seteruk ini. Biasanya air hanya sampai paras lutut tetapi kali ini semua barang terapung malah ada yang melebihi paras meja makan," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap