Perbendaharaan AS gugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan rakan dagang

2024-11-15 HaiPress

FOTO AFP

KUALA LUMPUR,15 November- Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara itu.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Perbendaharaan AS dalam laporan bertajuk “Report to Congress - Macroeconomics and Foreign Exchange Policies of Major Trading Partners of the United States” bagi November 2024,Malaysia memenuhi satu kriteria dalam laporan terakhir (pada Jun) dan laporan bagi November.

"Apabila sesebuah rakan dagang utama mencapai dua daripada tiga kriteria dalam Akta Kemudahan Perdagangan dan Penguatkuasaan Perdagangan 2015 (Akta 2015),rakan dagang berkenaan akan dimasukkan dalam senarai pemantauan.

“Sehubungan itu,Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai pemantauan dalam laporan ini," menurut laporan berkenaan.

Akta 2015 memerlukan Perbendaharaan AS menyediakan laporan pada setiap enam bulan mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran mata wang asing rakan dagang utama negara itu.

Akta berkenaan turut mewajibkan Perbendaharaan AS melakukan analisis yang lebih terperinci mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran bagi setiap rakan dagang utama yang memenuhi tiga kriteria itu.

Tiga kriteria berkenaan adalah lebihan dagangan dua hala dengan AS sekurang-kurangnya US$15 bilion (US$1= RM4.48); lebihan akaun semasa material sekurang-kurangnya 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); dan intervensi berterusan di sebelah pihak dalam pasaran mata wang asing sekurang-kurangnya lapan bulan dalam tempoh setahun dengan pembelian bersih sekurang-kurangnya 2.0 peratus daripada KDNK ekonomi dalam masa12 bulan.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap