TaniStats 2.0 perkukuh agenda transformasi digital pertanian - DOSM
2025-12-08 HaiPress

Gambar hiasan/ DOSM
KUALA LUMPUR,7 Disember – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan TaniStats 2.0,gerbang digital statistik pertanian yang dinaik taraf daripada versi asal yang diperkenalkan pada Mei 2025.
Dalam kenyataannya,DOSM berkata platform yang dibangunkan secara dalaman itu mengintegrasikan pelbagai sumber data pertanian termasuk dapatan Banci Pertanian 2024,data pentadbiran agensi berkaitan,harga agromakanan,indikator keterjaminan makanan serta maklumat rantaian bekalan dalam satu ekosistem digital.
"Pembangunan platform tersebut menyokong teras daya cipta di bawah gagasan Malaysia MADANI dengan tujuan menggalakkan penggunaan data untuk keputusan berasaskan bukti serta menyokong agenda Reformasi Sektor Awam melalui pendigitalan perkhidmatan dan integrasi data antara agensi.
"TaniStats 2.0 turut menyediakan akses data hampir masa nyata bagi membantu kerajaan dan pihak berkepentingan membuat penilaian dasar yang lebih tepat," menurut kenyataan tersebut.
Ia menghimpunkan data huluan dan hiliran rantaian nilai pelbagai komoditi serta statistik keterjaminan makanan merangkumi bekalan,penggunaan dan imbangan makanan.
Antara penambahbaikan lain ialah modul CitraTani untuk analitik pertanian,TableFlex bagi paparan data fleksibel dan CaknaTani yang memaparkan laporan Banci Pertanian 2024.
Platform itu turut dilengkapi AgroBot,pembantu pintar berasaskan AI generatif untuk navigasi dan analisis awal.
DOSM turut memaklumkan bahawa Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25,naik mendadak daripada kedudukan ke-67 sebelum ini.
Pelancaran TaniStats 2.0 telah disempurnakan Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sempena Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025.
