MAA sokong penambahan elemen Lemon Law dalam Akta Perlindungan Pengguna
2025-10-13 HaiPress
MAA Group Bhd/Gambar Hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR,12 Oktober – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan untuk menambah elemen Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna yang akan dipinda.
MAA menegaskan kerjasama semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut berjalan dengan adil serta memberi manfaat kepada pengguna dan industri automotif negara.
Persatuan itu turut mencadangkan beberapa langkah tambahan,termasuk takrifan dan kriteria yang jelas bagi menentukan kenderaan yang tertakluk di bawah Lemon Law,serta penetapan had percubaan pembaikan dan tempoh masa yang munasabah.
“Selain itu,proses penilaian,pengantaraan dan penyelesaian yang adil serta seragam perlu diwujudkan bagi mengelak kekeliruan dan penyalahgunaan peruntukan tersebut.
"Program libat urus dan kesedaran juga wajar dilaksanakan untuk mendidik pengguna serta pemain industri mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing di bawah akta yang dipinda,” jelas MAA dalam satu kenyataan.
Sementara itu,MAA turut memohon agar kerajaan mengekalkan kerangka dasar yang seimbang bagi menyokong kedua-dua segmen kenderaan elektrik (EV) iaitu model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD).
“Ekosistem EV di Malaysia masih berada pada peringkat awal,dan insentif berterusan bagi model CBU amat penting untuk meningkatkan kesedaran pengguna,keyakinan pasaran serta tahap kesediaan permintaan,” menurut kenyataan itu.
MAA menegaskan semua faktor berkenaan merupakan prasyarat penting bagi kejayaan jangka panjang inisiatif pemasangan EV tempatan.
Persatuan itu turut menekankan keperluan agar dasar kerajaan terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi pesat dan perkembangan industri global.
Landskap automotif yang sentiasa berubah memerlukan dasar yang progresif dan adaptif bagi memacu pengembangan industri serta penerapan teknologi tinggi di Malaysia.