Bursa Malaysia kekal unjuran PBT antara RM369 juta hingga RM408 juta
2025-07-30 IDOPRESS
Datuk Fad’l Mohamed
KUALA LUMPUR,29 Julai – Bursa Malaysia Bhd mengekalkan sasaran keuntungan sebelum cukai (PBT) antara RM369 juta hingga RM408 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 .
Ketua Pegawai Eksekutifnya,Datuk Fad’l Mohamed berkata,unjuran itu kekal didorong oleh kecairan pasaran domestik yang kukuh serta pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Menurut beliau,sasaran itu merupakan salah satu indikator prestasi utama (KPI) utama Bursa Malaysia bagi tahun ini .
Beliau turut menjangkakan pendapatan syarikat akan terus disokong oleh segmen derivatif serta hasil bukan perdagangan sepanjang separuh kedua tahun kewangan 2025.
"Pelabur tempatan khususnya memainkan peranan penting. Saya difahamkan ramai pengurus dana kini memegang tunai. Data menunjukkan setakat Mei,pengurus dana memegang sekitar 11.5 peratus tunai,paras tertinggi sejak Januari 2024.
"Kami berharap akan berlaku peningkatan dalam aktiviti dagangan sebaik sahaja tunai tersebut dilaburkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama tahun ini di sini.
Bursa Malaysia mencatat keuntungan bersih RM57.06 juta bagi suku kedua 2025,susut daripada RM80.45 juta tahun lalu,disebabkan hasil operasi lebih rendah.
Pendapatan turun kepada RM172.58 juta daripada RM199.94 juta,manakala segmen pasaran sekuriti jatuh 24.4 peratus kepada RM85.3 juta.
Namun,pasaran derivatif dan Islam mencatatkan peningkatan kecil,sementara perniagaan data naik 4.7 peratus kepada RM16.6 juta.
Untuk separuh pertama 2025,keuntungan bersih turun kepada RM125.48 juta.
Bursa kekal optimis dengan prospek pasaran dan menyasarkan 60 tawaran awam permulaan (IPO),pertumbuhan pendapatan bukan perdagangan lima peratus hingga tujuh peratus,serta pengurangan pelepasan karbon 10 peratus.
Dividen interim 14 sen sesaham diumumkan,berjumlah RM113.3 juta.
Bursa komited memajukan pasaran sebagai platform pelbagai aset bawah pelan strategik 2024–2026.