CYDES 2025 perkasa keselamatan siber serantau, global
2025-07-01 HaiPress
Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin
PUTRAJAYA,30 Jun- Pameran dan Persidangan Pertahanan serta Keselamatan Siber (CYDES 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dijangka mencatat kehadiran lebih 8,000 pengunjung dan peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA),Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata,edisi selama tiga hari yang bermula esok bakal menyaksikan penglibatan lebih 218 organisasi dari dalam dan luar negara.
Ia sekali gus menjadikan pameran itu antara platform keselamatan siber terbesar di rantau ini.
"CYDES 2025 juga bakal menyambut kehadiran 70 wakil forum delegasi serta 55 delegasi VIP dari Malaysia. Acara ini bukan sahaja menghimpunkan negara-negara ASEAN.
"Ia turut melibatkan penyertaan dari negara luar seperti China,Amerika Syarikat,United Kingdom,negara-negara Eropah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Tinjauan Mesra Media Sempena CYDES 2025 di PICC,di sini.
Kira-kira 41 sesi panel akan berlangsung dengan penglibatan 105 penceramah dan panel pakar keselamatan siber dari pelbagai negara,membincangkan isu-isu strategik dan cabaran semasa dalam landskap keselamatan digital global.
Turut menjadi tumpuan,pelancaran Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis perasmian esok.
"Dalam acara sama,NACSA juga akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan enam universiti tempatan bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti,penyelidikan serta pendidikan keselamatan siber," katanya lagi.
Selain itu,beberapa sesi meja bulat turut dijadualkan termasuk Bengkel Pembinaan Strategi Kerjasama Siber ASEAN yang dijangka dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia,pada Oktober nanti.
Sesi rundingan dua hala turut akan diadakan antara ASEAN dan Australia,serta delegasi dari China dan Rusia.
Penganjuran CYDES 2025 dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab keselamatan siber serantau,selari dengan aspirasi negara ke arah kematangan digital dan keselamatan siber berdaya tahan.