Malaysia sertai Mesyuarat MRT APEC ke-31, fokus AI dan perdagangan terbuka

2025-05-12 IDOPRESS

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR,12 Mei - Malaysia akan menyertai rakan serantau dan global minggu ini dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan APEC (MRT) ke-31 yang akan diadakan di Jeju,Korea Selatan,dengan kecerdasan buatan (AI) dan cabaran demografi menjadi antara keutamaan utama serta menyeru kepada perdagangan terbuka.

Menteri Pelaburan,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 Mei ini.

Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata,Malaysia akan memanfaatkan platform APEC itu bagi menegaskan komitmen teguh negara terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang telus dan berasaskan peraturan,berpandukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras utama.

"Pendekatan ini selari dengan keutamaan tematik yang diketengahkan oleh Korea,termasuk Ketersambungan melalui Sistem Perdagangan Pelbagai Hala,Inovasi AI sebagai Pemudahcara Perdagangan,serta Kemakmuran melalui Perdagangan Mampan." katanya.

Komitmen Malaysia juga seiring dengan Wawasan Putrajaya 2040 yang menekankan perdagangan dan pelaburan terbuka,adil dan tidak diskriminatif sebagai pemacu integrasi serantau serta pertumbuhan mampan dan inklusif.

"Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan ahli APEC dalam memperkukuh kemampanan,inovasi dan perdagangan terbuka demi manfaat bersama,seiring usaha rantau ini ke arah Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan,inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan." katanya lagi.

Delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan dagang utama termasuk Menteri-Menteri Perdagangan APEC-ASEAN dan Ketua Pengarah WTO Dr. Ngozi Okonjo-Iweala.

Mesyuarat Tidak Formal Peringkat Menteri bagi Perjanjian CPTPP juga akan diadakan di sela-sela mesyuarat tersebut.

Mesyuarat MRT APEC kali ke-31 akan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan cabaran demografi,dan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan,Industri dan Tenaga Korea,Inkyo Cheong,dengan tema "Membina Masa Depan Mampan: Hubung. Inovasi. Makmur."

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap