Kapit bakal jadi hab budaya Dayak melalui penganjuran KDCF 3.0
2025-05-12 HaiPress
FOTO FB Alexander Nanta Linggi
KAPIT,12 Mei- Kapit dijangka terus berkembang sebagai salah satu destinasi utama pelancongan budaya di Sarawak menerusi penganjuran acara tahunan Kapit Dayak Cultural Festival (KDCF) yang kini memasuki edisi ketiga.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan,festival tersebut bukan sahaja mengetengahkan keunikan adat dan budaya masyarakat Dayak,malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan seni budaya dan kraftangan tempatan.
“KDCF bukan sekadar acara hiburan semata-mata. Ia satu usaha bermakna dalam memartabatkan budaya Dayak serta memperkenalkan Kapit sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan budaya,” katanya.
Penganjuran KDCF yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 kini telah dimasukkan dalam Sarawak Tourism Calendar of Events,dan semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam negeri,malah di peringkat nasional.
Festival itu juga berfungsi sebagai platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum melalui penghayatan dan penghormatan terhadap budaya Dayak. Ia turut memberi peluang kepada komuniti tempatan terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi seperti pembukaan gerai makanan tradisional dan jualan hasil kraftangan.
Dalam perkembangan berkaitan,beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menyarankan agar elemen pertandingan seperti ‘Pekit Kumang’ terus diperkasakan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengetengahkan keanggunan wanita Dayak,malah telah melahirkan ramai anak muda yang mahir dalam seni tenunan seperti pua kumbu dan kain buri – satu bentuk warisan yang wajar dipelihara,” tambah beliau.
Datuk Seri Alexander turut berharap agar festival itu dapat diteruskan secara konsisten dan ditambah baik dari semasa ke semasa,dalam usaha menjadikan Kapit sebagai pusat rujukan budaya Dayak di Sarawak.