KUSKOP sasar pelaburan RM80 juta pada MIHAS 2024

2024-09-18 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Datuk Ewon Benedick

KUALA LUMPUR,17 September- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM80 juta melalui penyertaan 26 syarikat halal dan 14 syarikat francais jenama tempatan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Datuk Ewon Benedick,jumlah tersebut melibatkan sasaran nilai jualan RM30 juta bagi produk industri halal dan RM50 juta bagi produk industri francais.

"Mudah-mudahan dalam tempoh tiga hari ini akan ada lagi syarikat lain yang datang ke MIHAS 2024 berbincang dengan para pempamer dan seterusnya menandatangani dan memeterai kerjasama perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pavilion KUSKOP MIHAS dan menyaksikan empat Perjanjian Persefahaman (MoU) membabitkan syarikat usahawan halal tempatan bersama rakan niaga dalam dan luar negara di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Ewon berkata penyertaan KUSKOP kali ini bersama usahawan tempatan di MIHAS adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.

“Kami yakin peluang ini akan memberi manfaat besar kepada usahawan Malaysia untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka,terutama melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pelabur antarabangsa.

"Saya berharap usahawan kita dapat mengambil peluang termasuklah memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa,malah juga untuk membina rangkaian lebih kukuh dan strategik dengan pelabur serta rakan niaga dari seluruh dunia,” katanya.

MIHAS 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berlangsung bermula hari ini hingga 20 September.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap