RM5 bilion untuk projek transformasi pertanian, tingkatkan hasil padi - PM

2024-09-14 berita.rtm.gov.my HaiPress

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)/Foto RTM

SERDANG,14 September - Kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian termasuk projek raksasa tanaman padi fasa pertama,dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion,kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil tanaman padi bagi pesawah terlibat serta menaikkan taraf hidup mereka.

“Maka,tumpuan diberikan KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dengan fokus terhadap peningkatan pengeluaran padi beras negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Arthur Joseph Kurup,dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar juga mahu semua kementerian dan agensi untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menjamin produktiviti pengeluaran makanan negara tercapai.

Beliau berkata menjadi cabaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam menggerakkan masyarakat khususnya golongan petani,pesawah dan nelayan untuk bersama-sama menerima perubahan sedang dirancang bagi melonjakkan hasil dengan lebih baik.

“Bagaimana kita mahu gerakkan masyarakat,termasuk golongan petani,pesawah,nelayan untuk juga terima perubahan (transformasi industri pertanian) ini,dan melonjakkan hasil dengan baik,” katanya.

Pada Mei lepas,Perdana Menteri berkata kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),khusus bagi projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Turut dalam perancangan ialah penambahan keluasan bagi pelaksanaan program tanaman padi berkenaan,melibatkan kawasan seluas 30,000 hektar secara berperingkat di kawasan MADA.

MAHA 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ berlangsung selama 12 hari bermula 11 Sept lepas,dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung dan kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap