Pertindihan kursus pengajian, KPT akan bincang dengan MQA

2024-08-20 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto RTM

BATU FERINGGI,20 Ogos- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)akan berbincang dengan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi sebarang tindakan lanjut susulan isu pertindihan kursus pengajian.

Timbalan Menterinya,Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata tindakan itu akan disegerakan agar isu berkenaan tidak berpanjangan serta merugikan universiti dan pelajar.

"Kita akan meneliti mana-mana kursus yang bertindan dan kita tidak mahu ada persaingan antara universiti. Ini akan menyebabkan pelajar-pelajar celaru dan tidak dapat fokus mana satu yang nak masuk. Ini akan diselaraskan dalam UPU bawah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA)."

"Kalau ada yang bertindan lagi,MQA perlu meneliti semula dan kita akan kurangkan," kata Mustapha kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2024 di Double Tree Resort,Batu Feringgi Pulau Pinang,pagi tadi.

Jelasnya,kursus ditawarkan perlu memenuhi pasaran industri dan sekiranya kebolehpasaran kurang daripada 30 peratus kursus berkenaan perlu dipertimbang dengan mengubah suai silibusnya.

Dalam majlis itu,Radio Televisyen Malaysia (RTM) dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kepimpinan Perdana Universiti Awam Malaysia - Agensi Penyiaran Berita (Agensi Kerajaan) Paling Popular di Universiti Awam (UA).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menyampaikan anugerah itu kepada Pengarah Penyiaran Pulau Pinang Nor Hisham Abbas yang mewakili RTM.

Majlis tersebut juga menyaksikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menerima Anugerah Agensi Penyiaran Berita (Badan Berkanun) Paling Popular di UA.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Kewangan Perniagaan Malaysia Timur      Hubungi kami   SiteMap